Menurut mereka, taman tasik yang terletak di belakang bangunan sementara Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi Khamis lalu itu menjadi tumpuan remaja untuk berkumpul dan ada dalam kalangan mereka bermalam di pondok-pondok kecil di kawasan berkenaan.

Gesaan itu disuarakan kerana penduduk bimbang jika kawasan tersebut tidak dipantau dan dipertingkatkan pencahayaannya, aktiviti jenayah akan menular dan lebih membimbangkan, tragedi sama seperti kebakaran di pusat tahfiz berhampiran yang menyebabkan 23 kematian akan berulang.

Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Muhammad Zharif Nadim memberitahu Utusan Online, pihaknya sebelum ini pernah meminta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelenggarakan lampu-lampu di sekitar taman tasik itu.

Jelas beliau, permintaan itu dibuat kerana lampu-lampu berkenaan ditutup pada waktu malam dan keadaan gelap itu menjadi tarikan kepada kelompok-kelompok remaja untuk berkumpul di taman tasik berkenaan.

MUHAMAD ZHARIF NADIM
MUHAMAD ZHARIF NADIM

“Mereka ini sering berkumpul di pondok-pondok rehat yang banyak dibina di sekitar tasik pada waktu malam.

“Saya tidak berani kata dengan pasti mereka menagih di sini, tetapi sebelum ini pihak polis ada melakukan beberapa tangkapan di sekitar kawasan taman tasik ini,” kata beliau kepada Utusan Online yang melakukan tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini.

Nasaruddin Sapilin, 21, pula menyatakan, sejak mula bekerja di kawasan berhampiran tasik berkenaan setahun yang lepas, dia sering melihat kumpulan remaja berkumpul dan seolah-olah sedang berpesta di sekitar tasik berkenaan.

“Kebanyakan remaja berkenaan kelihatan seperti tidak terurus dan menghisap rokok setiap kali mereka berkumpul.

NASARUDDIN SAPILIN
NASARUDDIN SAPILIN

“Saya tidak tahu sama ada kegiatan salah (seperti menagih dadah) yang lain dilakukan sebab mungkin bila para remaja berkenaan melihat ada yang sedang memerhati, mereka sembunyikan apa yang sedang dilakukan,” jelas beliau.

Petugas PPIM, Azwan Hilmi, 30, pula memberitahu, kebanyakan remaja yang berkumpul di kawasan tersebut akan berada di taman tasik berkenaan akan berada di situ sehingga lewat malam.

“Ramai dalam kalangan remaja-remaja itu kelihatan seperti tidak bersekolah dan bermasalah. Mereka ini sering berada di taman tasik ini bermula selepas waktu solat Isya sehingga pagi.

AZWAN HILMI
AZWAN HILMI

“Saya sendiri pernah tegur mereka, tetapi bila ditegur mereka lari. Selepas lihat tiada orang di sini mereka kembali berkumpul sehingga pagi,” katanya.

Kebimbangan penduduk setempat mengenai keadaan di Taman Tasik Datuk Keramat berkenaan semakin ketara rentetan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi 15 September lepas.

Susulan siasatan pihak polis ke atas tragedi itu, tujuh remaja  berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun yang tinggal di sekitar pusat tahfiz telah ditahan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 sebab khianat menggunakan api.

Enam daripada suspek berkenaan didapati positif dadah. - UTUSAN ONLINE