Menurut Tony, beliau amat berkeinginan untuk memberi kredit atau pujian kepada kerajaan yang telah menguruskan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat sepertinya dengan begitu baik.

Malah, katanya, AirAsia bermula dengan dua buah pesawat dan kini memiliki 230 buah pesawat selain berjaya memenangi pelbagai anugerah.

“Kami sedar bukannya mudah untuk sebuah syarikat dari Malaysia untuk mendapat pengiktirafan yang sebegitu besar.

“Saya bermula dengan hanya mempunyai dua buah pesawat pada ketika seluruh dunia seolah-olah menentang kami dan dalam tempoh 10 tahun sahaja kami lihat kerajaan telah membantu dan memberi peluang untuk menjadikan kami sebagai salah satu daripada jenama antarabangsa yang terbesar di dunia,” katanya menerusi video klip yang dimuat naik ke dalam laman YouTube hari ini.

Video berdurasi dua minit 56 saat itu ditonton lebih 37,000 penonton setakat pukul 4 petang ini.

Dalam video tersebut, Tony berkongsi resipi kejayaan AirAsia yang pada dasarnya bermula dengan penuh berliku.

Bersempena Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Rabu ini, beliau turut mengingatkan para pengundi supaya tidak mengundi berdasarkan maklumat yang tidak tepat atau berdasarkan khabar angin.

Katanya, pengundi perlu me­ngundi berdasarkan fakta dan sebagai contohnya kejayaan AirAsia sendiri adalah satu fakta.

“Kami telah berkembang daripada mempunyai dua buah pesawat kepada 230 pesawat. Kami telah berjaya dan maju kerana dasar mesra pasaran yang diperkenalkan setelah dasar perlindungan dimansuhkan. Kami berharap pada masa hadapan syarikat-syarikat seperti kami akan terus berkembang,” ujarnya.

Pada pandangan Tony, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap mendahulukan rakyat dan negara.

“Kerajaan tidak mendahulukan Tony Fernandes, tidak mendahulukan AirAsia dan tidak mendahulukan GLC tetapi mendahulukan rakyat dan negara ini terlebih dahulu.

“Di bawah kerajaan sedia ada, akan ada lebih banyak peluang pekerjaan, akan ada lebih banyak meritokrasi. Inilah Malaysia yang saya impikan,” jelasnya.