Video oleh AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Ujarnya, rakyat Malaysia menunjukkan kerjasama yang erat walaupun terdapat tiga kaum utama dan suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli yang mempunyai budaya berlainan.

Katanya, ini berbeza di sesetengah negara yang walaupun rakyatnya menganut agama yang sama, namun berlaku peperangan semata-mata kerana sedikit perbezaan tafsiran agama.

"Persahabatan kita bukan terhad dalam kalangan pemimpin tetapi semua rakyat mempunyai sifat berbaik-baik antara kaum sehingga kita dapat merayakan perayaan dan agama bersama-sama.

"Ini tidak bermakna kita sudah tukar agama sebaliknya ia diizinkan oleh agama. Di dunia ini terdapat bermacam-macam agama dan kaum," katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut Mahathir, disebabkan wujud masyarakat majmuk yang hidup aman, Malaysia benar-benar menggambarkan kepelbagaian penduduk Asia.

"Sehinggakan kita boleh mendakwa negara kita 'Malaysia truly Asia'. Seluruh dunia mengiktiraf Malaysia mencerminkan Asia kerana terdapat pelbagai kaum dari Asia di negara ini," katanya.

Beliau berkata, negara ini unik dan beruntung kerana setiap kaum boleh menyumbang kepada kemajuan negara dengan cara masing-masing.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan tradisi rumah terbuka yang satu ketika dulu disambut kecil-kecilan tetapi kini menjadi acara nasional yang diraikan secara besar-besaran dan meriah. - UTUSAN ONLINE