Abdul Aziz Ahmad
Abdul Aziz Ahmad

Tempoh bayaran balik pinjaman perumahan 30 tahun itu sebenarnya boleh dipendekkan sekiranya pembeli tahu dan faham cara-caranya.

Pengasas Hartanahguru merangkap Pengasas Bersama celikhartanah.com, Abdul Aziz Ahmad berkata, langkah untuk memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman bagi pembeli rumah boleh dilakukan menerusi kaedah pembayaran prinsipal secara pukal.

“Apabila kita membuat pinjaman bank untuk membeli rumah, kita membayar dua perkara iaitu bayaran prinsipal atau pokok dan keduanya, bayaran faedah (interest) yang dikenakan ke atas pembeli oleh pihak bank.

“Di sini saya ingin menjelaskan bahawa untuk memendekkan tempoh pinjaman perumahan kepada 10 tahun, setiap enam bulan sekali, kita bayar secara pukal pinjaman prinsipal sepenuhnya kepada bank. Dengan cara beginilah kita dapat pendekkan tempoh pinjaman daripada 30 tahun kepada 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Utusan Online sejurus selepas berkongsi ilmu Teknik Langsai Hutang Rumah 10 Tahun sempena Simposium Hartanah Utusan yang diadakan di Dewan Besar Utusan, Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.

Simposium dua hari, bermula hari ini bertemakan Misi Beli Rumah itu menyaksikan pembentangan 11 kertas kerja berkaitan hartanah oleh penceramah jemputan.

Abdul Aziz yang pernah bertugas sebagai jurutera elektrikal di tiga syarikat multinasional selama 13 tahun sebelum menjadi ejen hartanah sejak 2008 berkata, pembeli boleh mengeluarkan wang caruman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun dua.

“Pengeluaran daripada akaun dua KWSP boleh dibuat berdasarkan tiga perkara. Pertama, untuk membuat bayaran pembelian rumah kali pertama.

“Sebab kedua, pengeluaran yang dipanggil ‘holiday payment’ iaitu jika kita mempunyai masalah hutang, kita mahu melangsaikan hutang-hutang, kita boleh buat pengeluaran menerusi kaedah kedua ini.

“Dan kaedah ketiga untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP yang ada pada akaun dua ialah untuk pengurangan prinsipal atau principal reduction,” jelasnya.

Beliau berkata, berapakah jumlah bayaran untuk pengurangan prinsipal mesti dirujuk kepada surat perjanjian di antara pembeli dan bank.

Bagaimanapun, sebagai contoh, Abdul Aziz berkata, sekiranya jumlah pinjaman bank yang dibuat oleh pembeli rumah ialah RM200,000 maka bayaran prinsipal setiap enam bulan sekali adalah RM5,000.

“Dengan cara pencerahan yang diberikan ini saya berharap dapat membantu pembeli-pembeli rumah di luar sana untuk memendekkan tempoh bayaran balik bank,’’ katanya. - UTUSAN ONLINE