Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Srategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun berkata, jumlah itu kurang memberangsangkan lantas orang ramai perlu mengambil peluang yang sedia ada yang hanya tinggal 12 hari sahaja lagi sebelum tarikh akhir 15 Julai ini.

“Pemegang kad MyRapid yang telah menukar ke kad baharu akan dapat menikmati perjalanan dengan lancar antara perkhidmatan Rapid KL, termasuk laluan MRT Sungai Buloh - Kajang.

“Kami sangat menggalakkan pengguna yang tidak menggunakan perkhidmatan MRT Sg Buloh – Kajang untuk menukar kad nilai simpanan MyRapid kerana kad ini akan ditamatkan penggunaannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai sesi tinjaun pusat penukaran kad konsesi Stesen Subang Jaya di sini hari ini.

Menurut Jin Aun, penukaran kad MyRapid ke platform baharu ini adalah perlu bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lancar dan selesa dengan rangkaian bas Rapid KL, LRT, Monorel dan Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Julai nanti.

“Fasa dua projek MRT Sungai Buloh – Kajang akan berintergrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Pasar Seni, manakala bagi laluan Sri Petaling/Ampang di Stesen Maluri dan Stesen Plaza Rakyat,” ujarnya.

Tambah Jin Aun, sistem tiket bagi MRT Laluan Sungai Buloh Kajang hanya menerima token dan kad simpanan nilai Touch ‘n Go, pengguna kad MyRapid yang menggunakan perkhidmatan MRT melalui rangkaian LRT akan menghadapi masalah ketika hendak keluar di stesen MRT.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan untuk melanjutkan tempoh penukaran kad konsesi selepas 15 Julai, Jin Aun memberitahu, pihaknya masih dalam perbincangan dan segala keputusan akan diberitahu kelak.

“Kita berharap mereka tukar sebelum 15 Julai ini dan langkah ini bagi memudahkan mereka. Cadangan untuk kenakan denda atau lanjutan tarikh penukaran terpulang kepada perbincangan dan permintaan daripada orang ramai,”ujarnya.

Pengguna kad nilai simpanan (SVT) MyRapid boleh menukar kad mereka di mana-mana stesen LRT, Monorel dan BRT yang mengambil masa kira-kira lima minit dan kos penukaran adalah percuma.

Bagi pemegang kad konsesi MyRapid, penukaran hanya boleh dibuat di Stesen LRT Awan Besar, LRT Subang Jaya, LRT Sri Rampai dan Hab Bas Pasar Seni malah dan permohonan kad konsesi MyRapid baharu yang boleh dibuat di pusat penukaran Hab Bas Pasar Seni sahaja. - UTUSAN ONLINE