Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Pemenang utama masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan Orando Holdings manakala 10 pemenang saguhati menerima langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun.

Tiga kumpulan yang berjaya menjadi pemenang utama bagi bulan Januari adalah Five Productions dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Johor; SOV Productions dari SMK Muara Tuang, Sarawak dan kumpulan Weirdos dari SMK Taman Desa Skudai, Johor.

Video kumpulan Five Productions mengupas sentimen perkauman yang menebal sehingga mencetuskan perselisihan faham dan pergaduhan yang berjaya menambat hati juri.

Bagi kumpulan SOV Productions, mereka mengetengahkan tajuk persahabatan berbilang kaum yang menepati ciri #muhibah sekali gus melayakkan mereka menjadi salah satu pemenang utama untuk bulan Januari.

Sementara itu, kumpulan Weirdos berjaya menggarap penceritaan video pendek yang dihasilkan dengan menekankan kepentingan supaya amalan muhibah diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira status.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Eng Wei Chun.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Alias Samsudin; Wakil Yayasan Noah, Rozia Hanis Hussein; Pemegang Ama­nah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Penolong Ketua Pe­ngarang II Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.