Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, kejayaan menamatkan misi ekspedisi itu dimaklumkan oleh Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.

“Ketiga-tiga penjelajah misi tersebut itu berjaya menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja iaitu lima hari lebih awal dari jadual walaupun terpaksa berdepan beberapa cabaran.

“Baki tiga kilometer (km) terakhir menuju ke Titik 90 Darjah Kutub Utara, penjelajahan mereka disifatkan paling mencabar kerana terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang lebar menyebabkan mereka berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Video oleh MUHAMAD MUQHARABBIN MOKHTARUDDIN

Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin serta dua ikon sukan lasak negara, Mohd. Irwan Yusoff Abdullah serta Shahrom Abdullah itu bertolak ke Oslo, Norway pada 4 April dan memulakan jelajah ke Kutub Utara pada 13 April lalu.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 membabitkan perjalanan berski sejauh 111km yang memakan masa selama 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun ketiga-tiga penjelajah berjaya menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja iaitu lima hari lebih awal daripada jadual. - UTUSAN ONLINE