Pakar di Pusat Kawalan dan Per­sediaan Bencana, Fakulti Tek­nologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Ra­zak berkata, mengikut ka­jian tahap daya tahan bencana yang dijalankan, kawasan-kawasan bahaya di Cameron Highlands amat berpotensi tinggi un­tuk meningkatkan kadar risiko bencana pada masa hadapan.

“Cameron Highlands mungkin tidak lagi selamat untuk para pelancong dan penggemar per­cutian lokasi tanah tinggi sekiranya penerokaan haram menjadi salah satu sebab utama berlaku­nya bencana di­tambah lagi dengan perubahan iklim, kadar aliran air hujan di kawasan pertanian berbukit dan sistem pertanian yang tidak mesra alam sekitar.

“Dengan kesesakan lalu lintas saban minggu, penggunaan baja yang berlebihan (atas desakan permintaan) serta tahap kesiap­sagaan ben­cana yang rendah akan menimbulkan ke­­sangsian terhadap pelabur-pelabur,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas la­­poran Ming­­guan Ma­laysia hari ini yang menunjukkan penero­kaan tanah di Came­ron Highlands kini semakin parah dan berada pada tahap membimbangkan.

Jelas Khamarrul Aza­hari, kejadian ben­cana tanah runtuh dan banjir lumpur pa­da 2013 dan 2014 di Cameron Highlands merekodkan penurunan jumlah pelancong sebanyak 18 peratus.

“Ini sedikit sebanyak meru­gikan peniaga dan pengusaha resort di kawasan tanah tinggi. Para pelancong dan pelawat luar mungkin terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh dengan ketiadaan sistem amaran awal, penyebaran dan perkongsian maklumat peta risiko dan program kesiapsiagaan yang berterusan.

“Malah ia juga memberi impak negatif secara langsung terhadap sosial, ekonomi dan alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persa­tuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis ber­kata, sektor pelancongan negara akan terjejas sekiranya pihak berkuasa tidak memantau aktiviti penero­kaan haram di Cameron Highlands.

“Kita risau sekiranya tiada pe­­­­mantauan, kemungkinan Ca­me­­ron Highlands tidak akan disenaraikan dalam itinerari ejen pelancongan bagi pasaran dunia.

“Kira-kira 740,000 pelancong melawat Cameron Highlands se­­tiap tahun dan ini akan meru­gikan sektor pelancongan negara,” katanya.