Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan beliau sudah memaklumkan kejadian tersebut yang te­lah tular dan mendapat kecaman warganet untuk perhatian Ketua Pengarah ILP di ibu pejabat.

“Hari ini merupakan sesi pen­daftaran pelajar lama dan memang semua sudah sedia maklum bahawa sebarang kenderaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam ILP. Mereka perlu letak kenderaan masing-masing di luar kampus.

“Saya kesal dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat. Kita akan melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan memastikan kejadian sama tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aksi lelaki yang dikatakan merupakan Timbalan Pengarah ILP itu sendiri dirakam salah seorang pelajar sebelum video berdurasi 1 minit 28 saat itu dimuat naik dan menjadi tular di laman sosial Facebook dalam tempoh hanya sejam serta mendapat kecaman warganet.

Dalam rakaman kejadian yang dipercayai berlaku pada sebelah pagi ini, lelaki berke­naan dilihat dalam keadaan marah-marah sebelum bertindak menendang tiga motosikal di pekarangan surau ILP Kota Bharu.

Difahamkan, pagi ini merupakan sesi pendaftaran pelajar lama ILP dan rata-rata mereka melapor diri sambil ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Sementara itu, seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 45, berkata, dia kesal melihat perbuatan lelaki terbabit yang disifatkan biadab, melampau dan di luar dugaan bagi seorang yang berjawatan tinggi sepertinya.

“Sepatutnya dia perlu menggunakan budi bicara dalam soal meletak kenderaan kerana ini hari pendaftaran pelajar. Tindakan menendang motosikal sungguh tidak bertimbang rasa,” katanya.