Ahmad Shabery Cheek

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, atas sebab itu orang ramai khususnya mereka yang bakal menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi tidak perlu bimbang untuk membeli bekalan beras di mana-mana pasar raya.

Katanya, Bahagian Industri Padi dan Beras kementeriannya telah melakukan pemeriksa­an di beberapa kilang beras antaranya di Johor dan Kedah minggu lalu manakala hari ini di Perak bagi memastikan ketulenan beras yang diproses.

“Ujian tekstur serta iodin dilakukan terhadap sampel beras tersebut bagi mendapatkan kepastian, namun berdasarkan pemeriksaan pegawai bertugas di kilang proses beras itu mendapati tiada sebarang benda asing dalam pemprosesan beras di situ.

“Secara logiknya, kos membuat beras plastik adalah lebih tinggi berbanding beras yang ditanam malah harga beras dunia juga ketika ini rendah, jadi tiada sebab untuk menggantikannya dengan beras palsu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, dakwaan mengenai penggunaan beras plastik itu sebenarnya telah tular di India dan Indonesia sejak 2011 dan pihak berkuasa dua negara tersebut telah mengesahkan ia adalah laporan palsu.


Video oleh SYEFRY MONIZ

Katanya, justeru orang ramai perlu merujuk terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum mempercayai mana-mana video atau laporan yang disebarkan menerusi media sosial.

Semalam, sekumpulan kakitangan dan pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjalankan pemeriksaan terhadap kilang pemeriksaan dan pembungkusan beras di Mergong dekat Alor Setar, Kedah mendapati, syarikat kilang tersebut memperoleh bekalan beras daripada sumber sah iaitu petani dan pengilang tempatan.