Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras negeri, Abdul Rahim Rashid berkata, pemeriksaan yang dilakukan beliau dan sepasukan lapan anggotanya hari ini tidak menjumpai sebarang bendasing plastik di dalam kandungan beras berkenaan.

Tambah Abdul Rahim, pihaknya juga tidak menemui sebarang kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis tersebut.

"Pihak kami telah mengambil sampel beras dan menjalankan beberapa ujian tekstur dan ujian iodin dan hasilnya kami dapati ia mempunyai kanji dan merupakan beras tulen.

"Malah kami turut melakukan pemeriksaan ke atas mesin pengampit beras di premis berkenaan dan ia bukan digunakan untuk membuat beras plastik.

"Ternyata tuduhan yang dilemparkan itu tidak berasas,'' katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dan ujian di syarikat tersebut di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE