Kejayaan tersebut hadir beberapa jam selepas syarikat hartanah milik penuh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) itu menerima anugerah bagi kategori yang sama bagi peringkat Asia Pasifik, kedua-duanya untuk pembinaan projek Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Kuching, Sarawak.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman mewakili syarikat itu menerima kedua-dua anugerah berkenaan dalam satu majlis yang menerima lebih 1,000 penyertaan daripada 300 syarikat dari seluruh dunia mengikut pelbagai kategori.

Ini merupakan kejayaan terbesar diraih TH Properties selepas merangkul tiga anugerah pada Majlis Penganugerahan Hartanah Asia Pasifik 2017-2018 yang diadakan di Bangkok, Thailand pada Mei lalu.

Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Kuching sedang giat dibangunkan dan dijangka beroperasi mulai April tahun depan mengetengahkan konsep ‘Pua Kumbu’ dan hutan tropika Kepulauan Borneo yang mengekalkan ciri-ciri kebudayaan dan keindahan alam semulajadi pada reka bentuk binaannya.

Projek bernilai RM204.7 juta itu bakal memiliki kemudahan 237 buah bilik hotel selain dewan konvensyen yang mampu menempatkan 1,090 peserta serta sembilan bilik persidangan.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah TH Properties, Datuk Mohd. Fazillah Mohd. Ali; Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Pelaburan Tabung Haji, Abd. Kadir Sahlan. - UTUSAN ONLINE