Rustam Leong Wei Yoong, 33, berkata, ikatan kekeluargaan tidak pernah putus walaupun dia tekad membuat keputusan untuk memeluk agama Islam empat tahun yang lalu.

“Tahun ini kami sudah berbincang untuk makan besar bersama keluarga pada waktu tengah hari kerana dua orang kakak saya yang sudah berkahwin akan meneruskan acara makan besar bersama keluarga mertua mereka pada waktu malam.

“Setakat ini, setiap tahun saya masih meneruskan tradisi berkumpul bersama keluarga selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam,” katanya ketika ditemui Wartawan Utusan Online.

Rustam menambah, ayam masak kukus dan sayur goreng cendawan adalah menu wajib setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina yang akan disediakan oleh ibunya.

“Ibu saya sangat menghormati agama baru saya, dia akan pastikan semua bahan yang akan saya makan halal,” katanya.

Isterinya, Syazwani Ahmad Saufi, 30, berkata, tidak menjadi masalah baginya kerana masing-masing memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

“Saya bersyukur dikurniakan keluarga mertua yang sangat baik dan menghormati antara satu sama lain.

“Kelebihan yang saya rasakan adalah keunikan makanan dan budaya masing-masing apabila berkahwin campur,” katanya.

Bagi Nadhirah Chin Abdullah, 54, yang memeluk agama Islam ketika usia 27 tahun berkata, setiap tahun kediamannya menjadi pilihan untuk berkumpul memandangkan beliau merupakan anak sulung dalam keluarga.

“Sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang Tahun Baru Cina saya menyediakan hidangan sayur-sayuran untuk dimakan bersama keluarga tercinta.

“Saya juga sudah menyediakan baju raya berwarna ungu, memandangkan mengikut kepercayaan warna ungu memberi tuah pada tahun ini,” katanya.

Nadhirah yang merupakan ibu kepada dua anak turut berkongsi budaya dan tradisinya yang akan memberi teh kepada insan yang lebih tua.

“Setiap kali Tahun Baru Cina, saya akan memberi teh kepada ibu saya sebagai tanda hormat dan restu.

“Begitu juga adik-adik dan anak-anak saya yang turut memberi teh kepada saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE