Hari ini, pelajar Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, di sin yang menghidap cerebral palsy itu membuktikan perkara itu apabila dia diumumkan salah seorang daripada 19 pelajar terbaik STAM 2016 Kelantan yang memperoleh 10 Mumtaz (cemerlang).

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kejayaan ini tidak diduga kerana ketika peperiksaan percubaan, saya hanya mendapat 8 Mumtaz. Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ibu dan ayah yang selama ini sabar menjaga saya.

"Dengan keputusan ini, saya harap dapat terus menyambung pelajaran sehinggalah ke peringkat tertinggi iaitu pHD (Doktor Falsafah) dan menjadi pakar dalam bidang Usuluddin," kata Ahmad Faiz ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Demit, di sini.


Video oleh ZAAIN ZIN

Bapanya, Ibrahim Yunus, 48, memberitahu, penyakit cerebral palsy yang dihidap sejak lahir menyebabkan anak sulung daripada lima beradik itu tidak berupaya mengangkat tangan dan kaki sendiri.

"Dari segi fizikal, hampir 90 peratus pergerakan Ahmad Faiz memerlukan bantuan. Dia tidak dapat beralih langsung kerana tangan dan kakinya lemah. Jika mahu ke mana-mana, Ahmad Faiz perlu disorong menggunakan kerusi roda.

"Dia juga terpaksa dipakaikan lampin pakai buang yang hanya akan disalin isteri saya selepas waktu sekolah," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Pengkalan Demit, di sini.

Menurut Ibrahim, Ahmad Faiz seorang anak yang kuat dan tabah kerana di sebalik kekurangan fizikal dihadapi, remaja lelaki tersebut tetap gigih menuntut ilmu, sekali gus membuatkan dia dan isteri, Zarina Mohd. Kasim bangga dan terharu.

"Dia belajar pegang pensel sejak darjah satu. Dia cuba sepit menggunakan jari tetapi gagal kerana jarinya terlalu lemah. Ketika darjah empat, dia gunakan dagu dan mulut untuk menyokong pensel. Lama kelamaan, tulisannya semakin cantik dan kemas.

"Anak saya bertuah kerana sentiasa memiliki rakan-rakan yang ikhlas membantu dia setiap masa. Jika tiada kelas tambahan di sekolah, mereka datang beramai-ramai ke rumah membuat ulang kaji bersama Ahmad Faiz," katanya. - UTUSAN ONLINE