RAIS YATIM

Veteran UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, selain itu UMNO yang bakal menyambut ulang tahun ke-71 pada Mei ini juga perlu menjadi pelopor kepada kesinambungan budaya Melayu di negara ini.

“Bahasa dan budaya Melayu merupakan aspek penting yang perlu ditekankan dalam kala­ngan ahli UMNO.

“Dua aspek ini yang mencorakkan UMNO selama ini dan ia mesti dipertahankan agar kita tidak mudah terseret dengan budaya campuran yang menerobos ke dalam budaya serta bahasa kita,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.

UMNO akan menyambut ­ulang tahun ke-71 penubuhannya pada 11 Mei ini dan satu sambutan besar-besaran akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan penyertaan 140,000 ah­linya.

Sambutan tersebut bakal mencatatkan sejarah sebagai acara sambutan ulang tahun terbesar UMNO sejak penubuhannya.

Rais yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan berkata, walaupun telah berusia lebih 70 tahun, UMNO masih lagi kekal relevan dalam memperjuangkan agenda-agenda melibatkan rak­yat tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

Bagaimanapun katanya, untuk terus relevan pada masa depan UMNO perlu melakukan transformasi dalam beberapa aspek terutama memperjuangkan ekonomi bumiputera.

“Saya lihat ada keperluan untuk UMNO mewujudkan pangkalan data ekonomi Melayu yang mencatatkan pencapaian ekonomi orang Melayu.

“Ini kerana sehingga kini apabila ditanya berapa peratus pencapaian yang diperoleh orang Melayu dalam bidang ekonomi sukar untuk kita beri jumlah yang tepat,” katanya.