Pelantikan itu dibuat selepas dipersetujui oleh ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang di Kuala Lumpur semalam.

Dalam persidangan itu, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang dengan memasukkan Perkara 9A yang baharu yang memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri untuk menurunkan tahta kerajaan daripada raja pemerintah ke­rana kegeringan yang besar dan berat setelah disiasat secukup­nya.

Istiadat pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar di sini pada Selasa ini.

Pengumuman berhubung pe­lantikan berkenaan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah; Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dan ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Tengku Abdul Rahman bertitah, dalam keadaan yang dukacita, baginda dan keluarga menerima hakikat bahawa Sultan Ahmad Shah tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai raja pemerintah kerana kegeringan.

“Menyedari keadaan itu, saya dan keluarga telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri supaya Tengku Abdullah dilantik sebagai pengganti kepada paduka ayahanda sebagai Sultan Pahang keenam.

“Jumaah Pangkuan Diraja Negeri telah bersidang semalam dan cadangan telah dikemukakan,” titah baginda.