Video oleh Mohd. Fikri Fadzil

Seorang penduduk di Rakhine, Bakhir Ahmad Zahir Ahmad, 23, meninggalkan kampung halamannya pada tahun 2005 akibat tidak tahan dengan penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di sana.

Justeru, dia mengambil keputusan untuk datang ke negara ini menerusi jalan darat sama ada menaiki bas, kereta api ataupun berjalan kaki.

“Saya nekad, keluar dari kampung halaman selepas ditindas dengan bermacam-macam cara termasuklah dinafikan hak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berjalan menuju ke Bangladesh dan India kemudian masuk semula ke Myanmar. Dengan menaiki bas dan kereta api, saya dapat masuk ke Thailand sebelum tiba di Malaysia.

“Sembilan bulan ambil masa berjalan menaiki bas, tumpang kereta orang, naik kereta api dan jalan kaki sampai bengkak-bengkak kaki saya,” katanya ketika ditemui Utusan Online.

Dia ditemui dalam Majlis Agihan Bakul Makanan Ramadan kepada pelarian Rohingya anjuran Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim di Sekolah Knowledge Garden Learning Centre di Serdang, Selangor hari ini.

Turut hadir menyerahkan sumbangan itu ialah Exco Kerajaan negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, seorang wanita warga Myanmar Kharimah Salleh Mohamad Ustaz, 23, dalam majlis yang sama memberitahu tiada sambutan Aidilfitri di Rakhine.

Dia yang baharu empat tahun tinggal di sini memberitahu, keadaan di sana sangat menakutkan dan tiada langsung detik Aidilfitri dapat dinikmati apatah lagi untuk beribadah ketika bulan Ramadan.

“Memang tak boleh raya dekat sana sebab keadaan sangat teruk. Tak boleh keluar rumah untuk pergi masjid, kedai dan sebagainya.

“Bila keluar rumah, polis kacau, penganut Budha dekat sana pun kacau sehingga ada yang kena pukul sampai mati.

“Alhamdulillah, di Malaysia kami warga Rohingya dapat sambut Aidilfitri dengan selamat dan tenang,” luahnya.

Sehingga kini, lebih 3,000 warga Rohingya dibunuh oleh tentera dan polis Myanmar menyebabkan ribuan penduduk Rakhine melarikan diri ke negara-negara jiran seperti di Bangladesh dan Malaysia. - UTUSAN ONLINE