Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, tempoh itu adalah bagi menyesuaikan keadaan dan permintaan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu termasuk ibu bapa yang mungkin terbeban jika pelaksanaannya dilakukan secara drastik.

Katanya, sepanjang tempoh itu, tiada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pelajar yang tidak memakai kasut hitam ke sekolah.

‘‘Untuk tahun depan, siapa (ibu bapa) yang sudah sediakan kasut putih, kita bagi kelonggaran mereka (pelajar) pakai lagi. Kita faham perubahan tidak boleh dilakukan secara paksaan, kekerasan dan kita cuba memahami agar semua pihak khususnya ibu bapa dan pemain industri berasa gembira.

‘‘Kita tidak akan buat ‘hard lan­ding’ tetapi ‘soft landing’ kerana kita tak mahu ada yang terbeban dan rasa tertekan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Parlimen Simpang Renggam dan mesyuarat bersama agensi kerajaan di Pejabat Parlimen Simpang Renggam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan banyak pihak termasuk para pemilik kedai dan pengeluar kasut berhubung pelaksanaan langkah terbabit.

Khamis lepas, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan penukaran warna kasut para pelajar di seluruh negara daripada warna putih kepada warna hitam bermula sesi persekolahan tahun depan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang diterima Kementerian Pendidikan sejak beliau menjadi menteri.

Berhubung isu di Simpang Renggam, Maszlee berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mempertimbangkan untuk meneruskan projek pembinaan sebuah lagi balai bomba di Simpang Renggam yang terhenti, sebelum ini.

‘‘Satu-satunya balai bomba di Simpang Renggam adalah di bandar dan mereka banyak terlibat dalam menyelamatkan mangsa kes kemalangan, namun disebabkan kedudukan ba­lai tersebut jauh dari lebuh raya, agensi penyelamat itu selalu tiba lewat di tempat kejadian.

‘‘Bagaimanapun, kita dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam bahawa kita mempunyai tanah untuk pembinaan balai bomba, malah pembinaannya juga pernah dirancang tetapi terhenti. Jadi kita merayu kepada KPKT agar menyegerakan kembali pembinaan balai bomba itu di Simpang Renggam,’’ kata­nya. – BERNAMA