Video oleh HASNURUL MOHAMED

Pementasan teater bangsawan itu bakal diadakan selama dua hari, 20 Oktober dan 21 Oktober ini bertempat di Panggung Bangsawan Melaka.

Pada majlis memperkenalkan barisan pelakon teater bangsawan Tun Fatimah di Istana Budaya di sini, hari ini, Maya berkata, beliau menerima tawaran untuk mendukung watak Tun Fatimah kerana beliau mahu serta sukakan cabaran.

"Saya suka pada cabaran dan terpaksa mendalami seni persilatan untuk melakonkan watak Tun Fatimah.

"Saya akui tidak pernah buat bangsawan dan sudah tentunya saya perlukan bimbingan pengarah sebagai persiapan diri menjelang tarikh pementasan," kata Maya yang pernah terbabit dalam teater Natrah dan Supermokh suatu ketika dahulu.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Rim, Jasin, Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Tambah Maya lagi, satu lagi sebab mengapa beliau terima tawaran untuk pementasan bangsawan Tun Fatimah ialah untuk mengukuhkan lagi darah Melayu yang mengalir dalam tubuhnya.

Menjawab soalan wartawan, Maya berkata, beliau mempunyai asas dalam seni persilatan Melayu tetapi tetap memerlukan latihan dan tunjuk ajar supaya lebih mantap.

"Remy Ishak pernah mengajar saya bersilat. Bagaimanapun saya yakin saya cepat belajar," ujarnya.

Turut tampil dalam teater bangsawan Tun Fatimah ialah aktor Remy Ishak yang mendukung watak sebagai Sultan Melaka, Ashraf Muslim sebagai Tun Ali, Isma Halil dan Ebby Yus.

Teater bangsawan Tun Fatimah arahan Lokman Ghani, anjuran Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dengan kerjasama Istana Budaya dan Briged Seni Melaka.

Pementasan pada 20 Oktober nanti adalah untuk jemputan VVIP dan Korporat manakala 21 Oktober, dibuka kepada umum.

Tiket-tiket untuk menonton teater bangsawan Tun Fatimah berharga RM150 (untuk tempat duduk bawah), RM100 (tempat duduk atas) manakala tiket berharga RM80 dan RM50 masing-masing tempat duduk bawah dan atas pula untuk tayangan pada 21 Oktober.

Pementasan Teater Bangsawan Tun Fatimah sempena sambutan ulang tahun kelahiran Gabenor Melaka, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Mohd. Khalil Yaakob yang ke-79. - UTUSAN ONLINE