Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah berkata, atas sebab itu, semua pihak sama ada berlainan sektor atau industri harus bekerjasama dalam usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan golongan miskin.

“Kerjasama antara Angkasa dengan Kumpulan Utusan dalam meraikan anak-anak petugas yang telah meninggal dunia misalnya kini telah memasuki tahun keenam berjaya mengurangkan beban selain membantu menceriakan sambutan Ramadan mereka.

“Dalam masa sama, Angkasa ingin berterima kasih dengan Kumpulan Utusan kerana memberi peluang untuk menjalin pelbagai kerjasama dan hasilnya masyarakat hari telah menerima baik aktiviti koperasi sebagai wadah alternatif simpanan,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam maj­lis Meraikan Anak-Anak Yatim Kumpulan Utusan sempena Nuzul al-Quran 2017 bersama Angkasa dan BIMB di Dewan Utusan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Strategi Bank Islam, Hizamuddin Jamalluddin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed; Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd. Nazri Chik; Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris dan Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Saifol Bakhtiar Hamik.

Kesemua anak yatim berkenaan turut menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Kumpulan Utusan dan BKUM selain cenderahati daripada syarikat pengeluar roti Gardenia dan BOH Plantations Sdn. Bhd.

Jelas Fattah, penerimaan baik masyarakat itu dapat dilihat dengan jelas apabila ramai mendaftar sebagai ahli koperasi.

Katanya, bagi memastikan momentum positif itu berterusan Angkasa akan menganjurkan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia pada November ini sempena Persidangan Global Ikatan Koperasi Antarabangsa.

Sementara itu, Hizamuddin berkata, Bank Islam memperuntukkan RM800,000 bagi menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersama masyarakat sepanjang Ramadan tahun ini.