Baginda bertitah, plagiarisme adalah satu jenayah akademik dan merupakan perilaku mungkar terhadap ilmu serta para ilmuwan, justeru wajib ditangani secara tegas.

Titah baginda, setelah bermulanya world wide web (www), sistem jaringan dokumen hiperteks yang boleh diakses melalui internet, plagiarisme semakin menjadi cabaran kepada dunia pendidikan dengan maklumat tersangat mudah diperoleh, senang disalin, ditiru serta ditampal dalam kerja kursus termasuk laporan yang disediakan oleh para pelajar.

“Dengan berbilion-bilion bahan dalam internet, adalah amat menyulitkan warga akademik untuk dapat menyemak sepenuh­nya kesahihan dan keaslian kerja kursus dan bahan penyelidikan yang dihasilkan oleh pelajar di bawah pengawasan mereka, apatah lagi jika jumlahnya begitu ramai serta nisbah pelajar dan pe­ngajar begitu tinggi.

“Barang dijauhkan Ilahi nama baik Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) daripada tercemar dengan perbuatan plagiarisme baik dalam kalangan pelajar lebih-lebih lagi melibatkan warga akademik,” titah baginda.

Baginda yang juga Canselor USAS bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen USAS di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi.

Seramai 843 graduan meneri­ma penganugerahan kali ini dengan me­nyaksikan 17 graduan buat julung kalinya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam diikuti oleh 15 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 26 lagi menerima Ijazah Sarjana Pengurusan.