Mat Over yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, pa­da mulanya dia masih bo­leh bersabar melihat David mengkritik Datuk Rosyam Nor yang bertindak sebagai moderator Dailog Transformasi Nasional 2050 (TN50): Segmen Penggiat Seni tetapi kesabarannya hilang apabila penerbit itu semakin kurang ajar.

“Dia tidak sepatutnya ber­­cakap dengan nada sebegitu di hadapan Perdana Menteri. Apatah lagi itu adalah rumahnya. Kita sebagai tetamu seharusnya menghormati beliau selaku tuan rumah. Bukannya bercakap dengan nada kurang ajar.

“Jadi tindakan saya itu ada­lah pengajaran buatnya selepas Rosyam telah cuba memberi peluang ke­pa­danya terlebih awal. Orang kurang ajar kena ajar dengan cara kurang ajar,” katanya.

Bagaimanapun Mat Over menafikan dia berniat untuk mencederakan pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu, sebaliknya sekadar memberi peringatan.


Video oleh NURULANUAR MANSOR

“Saya juga tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam hal ini dan tidak mendapat apa-apa keuntungan yang boleh mendorong diri ber­tindak sebegitu,” tambahnya.

Pada majlis itu, David te­lah mengkritik cara Rosyam dengan nada suara yang agak tinggi di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, berlaku sedikit ke­tegangan antara David de­ngan Rosyam, namun pe­ngacara itu cuba mengawal keadaan sehinggalah ti­ba-tiba Mat Over muncul, lantas menampar pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu, sekali gus mengejutkan kira-kira 300 hadirin.

Bagaimanapun pada akhir sesi, Rosyam memanggil semula kedua-dua penggiat seni itu ke pentas untuk berdamai dan bermaaf-maafan sambil disaksikan Najib.

Di samping itu, dia mengakui dirinya dan David tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan tidak mempunyai masalah peribadi sebelum ini.