Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Naib Ketua PKR Cabang Ketereh, Mohd Sukirman Mustafa berkata, kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) diminta menaik taraf kawasan tersebut yang terletak kira-kira 21 kilometer dari pusat bandar kerana ia berpotensi menjadi tapak pelancongan.

Beliau berkata, kawasan yang mempunyai kolam didakwa tempat mandi-manda Puteri Saadong itu kini hanya dijaga penduduk kampung secara sukarela sedangkan tempat itu bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan malah dari luar negeri ini.

"Puteri Saadong adalah ikon sejarah negeri Kelantan, jika tempat ini dibiarkan lama-kelamaan akan lenyap ditelan zaman.

"Kita juga bimbang jika PBT tidak main peranan maka ia akan menjadi tumpuan orang buat perkara maksiat dan khurafat," katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan itu, di sini hari ini.

Kawasan seluas 1.2 hektar yang dilindungi redup pohon-pohon kayu itu mempunyai kolam seluas kira 1500 meter persegi tidak jauh dari tebing Sungai Kelantan.

Sementara itu, Mohd Sidek Mat Husain, 50, yang merupakan generasi keenam 'penjaga' Taman Serendah Sekebun Bunga berkata, dia mula mengambil alih tanggungjawab itu lebih 10 tahun lalu selepas kematian sepupunya, Hashim Isa.

Mohd Sidek berkata, kawasan kolam Puteri Saadong mempunyai kemudahan lima wakaf dan sebuah tandas yang kesemuanya dibina hasil sumbangan orang ramai.

"Ramai orang berkunjung ke sini kerana sejarahnya dan sesetengahnya untuk berubat kerana mereka mendakwa air kolam sesuai untuk merawat pelbagai penyakit.

"Bahagian atas tebing kolam pula dipercayai tapak istana Cik Siti Wan Kembang," katanya.

Mohd Sidek berkata, setakat ini pihak Muzium Negeri sudah datang melawat pada November tahun lalu dan berjanji untuk membantu menaik taraf kawasan tersebut. - UTUSAN ONLINE