Video oleh ASWAD YAHYA

Seperti tahun-tahun sebe­lum­nya, Kementerian Pendidikan me­ngambil langkah proaktif de­ngan mengeluarkan takwim penggal persekolahan 2018 sebagai rujukan dan maklumat mengenai sesi persekolahan untuk tahun depan.

Bagi golongan pendidik, takwim tersebut menjadi rujukan utama dalam merancang dan mengatur perjalanan pengoperasian sekolah sepanjang 12 bulan akan datang.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, sesi persekolahan 2018 akan bermula pada 1 Januari bagi kumpulan A yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Menurut beliau, negeri lain se­perti Perlis, Pulau Pinang, Pe­rak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Put­rajaya diletakkan di bawah Kumpulan B yang akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 2 Januari.

“Saya percaya, selain menjadi rujukan utama guru-guru, ibu bapa juga memerlukan takwim penggal persekolahan bagi me­rancang percutian keluarga serta bagi tujuan lain seperti penganjuran majlis kenduri,” katanya ketika ditemui di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Amin berkata, Kementerian Pendidikan te­lah me­rancang dan menetapkan tarikh-tarikh bagi penggal persekolahan tahun depan berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri berhubung hari kelepasan am persekutuan dan negeri.

Katanya, kementerian turut me­ngambil kira cadangan dan pandangan melalui perbincangan bersama kesa­tuan dan persatuan guru, jabatan pendidikan negeri serta kementerian-kementerian lain.

Takwim berkenaan juga me­ngikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Peraturan-peraturan Pendi­dikan (penggal, hari dan cuti persekolahan) yang me­netapkan hari persekolahan setiap tahun tidak kurang daripada 190 hari bagi semua negeri.

“Sebagai contoh, minimum hari persekolahan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2018 bagi Johor adalah 197 hari, Negeri Sembilan 198 hari manakala 199 bagi Sela­ngor.

“Jumlah minimum hari persekolahan ini berbeza mengikut negeri setelah mengambil kira hari kelepasan am persekutuan dan negeri,” jelasnya.

Menyen­tuh mengenai cuti persekolahan tahun hadapan, Amin memaklumkan, cuti perte­ngahan penggal satu selama se­ming­gu akan bermula pada 16 Mac 2018 bagi negeri dalam kumpulan A, manakala pada 17 Mac bagi ne­geri dalam kumpulan B.

Bagi cuti pertengahan tahun selama dua minggu untuk negeri dalam kumpulan A pula akan bermula pada 8 Jun dan kumpulan B pada 9 Jun, manakala cuti perte­ngahan penggal 2 selama seminggu bagi ne­geri dalam kumpulan A akan bermula pada 17 Ogos, manakala negeri dalam kumpulan B pula akan bermula pada 18 Ogos.

Beliau berkata, cuti akhir tahun selama lima minggu bagi negeri dalam kumpulan A akan bermula pada 23 November dan bagi kumpulan B akan bermula pada 24 November.

Beliau berkata, kementerian telah menyelaras cuti perayaan bagi setiap negeri untuk setiap perayaan iaitu Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Deepavali pada tahun depan diberi peruntukan cuti tambahan.

“Sambutan Tahun Baru Cina bagi semua negeri diberi tambahan dua hari cuti masing-masing pada 15 dan 19 Februari, manakala untuk perayaan Deepavali, cuti tambahan bagi negeri dalam kumpulan A pada 4 dan 5 November, manakala bagi negeri dalam kumpulan B kecuali Sabah, Sarawak dan Labuan adalah pada 5 dan 7 November.

“Hari Raya Aidilfitri pada 15 dan 16 Jun pula berada dalam cuti pertengahan 2018 sementara pe­rayaan Hari Krismas berada dalam cuti akhir tahun,” jelasnya.

Katanya, Kementerian Pendidi­kan juga memperuntukkan cuti peristiwa kepada pihak sekolah sekiranya mereka memerlukan cuti bagi sesuatu perkara.

“Cuti peristiwa bermaksud guru besar atau pengetua dengan kelulusan pendaftar boleh memilih hari tertentu sebagai cuti peristiwa yang tidak melebihi empat hari setiap tahun.

Bagaimanapun, cuti ini tidak boleh diambil bagi maksud untuk me­lanjutkan cuti penggal sekolah.

“Guru besar atau pengetua juga mempunyai kuasa menutup sekolah bagi tempoh tertentu jika berlaku darurat atau bencana alam, namun perkara itu hendaklah segera dimaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri secara lisan dan bertulis dan hari sekolah yang ditutup itu perlu diganti pada hari lain,” jelasnya.

Tambah beliau, kementerian Pendidikan juga telah memuat naik takwim penggal persekolahan 2018 di laman sesawang rasmi kementerian pada 5 Oktober lalu, manakala surat siaran takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan 2018 dimuat naik pada 13 November 2017.

“Ibu bapa dan pihak sekolah boleh merujuk takwim penggal persekolahan 2018 dan cuti-cuti perayaan yang diperuntukkan oleh kementerian melalui laman sesawang www.moe.gov.my,” katanya.