Rancangan asal untuk berpindah ke bangunan baharu DQI terletak kira-kira 400 meter dari bangunan sementara yang terbakar di Jalan Keramat Hujung, Keramat tidak menjadi kenyataan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sedang diubahsuai.

Walaubagaimanapun, menurut Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood, minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat tahfiz itu tidak pernah pudar, malah pihak DQI terpaksa menolak beberapa permohonan untuk membuat pilihan.

“Selepas kebakaran yang berlaku, permintaan untuk kemasukan baharu tahun ini mencecah sehingga 200 orang berbanding 10 sahaja sebelum ini dan hingga ke hari ini masih ada lagi yang datang membuat permohonan.

“Jadi, pada 15 Disember tahun lalu, kami telah menjalankan sesi temuduga dan hanya 60 pelajar sahaja yang terpilih sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 72 orang. Ini merupakan sejarah pertama bagi DQI di mana permohonan yang diterima lebih daripada jangkaan sejak beroperasi selama 16 tahun,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Walaupun kejadian kebakaran yang dipercayai terjadi akibat khianat telah berlaku hampir lima bulan lalu, namun peristiwa itu masih lagi terpahat di ingatan setiap masyarakat.

Bagi salah seorang mangsa kejadian yang masih belajar di pusat tahfiz berkenaan, Muhd. Syamim Naim, 16, berkata, dia mengambil masa selama dua bulan untuk melupakan peristiwa hitam itu dan masih lagi trauma akibat kejadian.

“Saya mengakui masih lagi trauma dan setiap malam teringat akan kejadian kebakaran itu, namun, lama-kelamaan emosi saya semakin stabil. Ibu bapa juga memberi sokongan dan pembelajaran di sini berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar yang terselamat ketika kebakaran berkenaan, Arief Zamzuri Jamaluddin, 17, tidak menafikan masih lagi merindui rakan-rakannya yang terkorban pada kejadian itu dan menjadikannya sebagai satu teladan.

“Beberapa hari selepas kejadian, memang masih terfikir dan takut akibat peristiwa itu. Walaubagaimanapun, pembelajaran saya masih lagi berjalan dengan lancar dan kejadian kebakaran itu juga boleh dijadikan teladan untuk pelajar baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE