Badan-badan lain yang terlibat adalah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan TV Alhijrah.


Inisiatif yang dilakukan adalah menerusi penubuhan Tabung Kemanusiaan Acheh bagi mengumpul dana untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk-penduduk wilayah terbabit yang memerlukan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penubuhan tabung itu mencerminkan betapa serius kerajaan, agensi-agensi dan badan-badan di negara ini dalam membantu penduduk di Aceh.

Jelas beliau, inisiatif tersebut membuktikan semangat satu rumpun dan satu akidah terhadap penduduk kawasan itu.


“Sebanyak RM289,360 setakat ini telah dikutip menerusi sumbangan dari Tabung Haji, Yapeim Gold, Koperasi Yapeim Berhad, Yayasan Taqwa MAIWP , Hospital Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan warga kerja Yapeim.


“Bantuan boleh disalurkan melalui 208 cawangan Ar-Rahnu Yapeim, 123 cawangan Tabung Haji, pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) Bank Islam dan kutipan di masjid-masjid,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Acheh, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas serta Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.


Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yapiem melalui akaun Bank Islam 14023010000082.


Aceh pada 7 Disember lalu telah digegarkan dengan gempa bumi kuat pberukuran 6.4 skala Richter yang mengorbankan 102 nyawa.


Dilaporkan, daerah Pidie Jaya paling teruk terkesan akibat gempa bumi itu. - UTUSAN ONLINE