Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu dilihat berkesan dalam membentuk jati diri setiap remaja agar adat dan kebudayaan tidak luput ditelan zaman.

Katanya, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada resolusi yang dicapai dalam tujuh prakongres sempena Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan pada Sabtu ini.

“Kami membuat beberapa rumusan berbentuk resolusi. Pertamanya, program asuhan budaya tinggi mesti diadakan semula baik di sekolah rendah, menengah sampailah ke universiti. Kami memohon supaya Jabatan Warisan Negara diwujudkan secara berasingan atau diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan.

“Dari situlah boleh mendidik anak-anak bangsa dan disemarakkan budaya dari bawah sampai ke atas. Tidak boleh digandingkan sebagai pengadaan acara sahaja,” katanya dalam program Sembang Online sempena Kongres Budaya 2017 di sini hari ini.

Kongres Budaya 2017 bakal diadakan pada 15 April ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa In­­duk kongres itu berkata, di peringkat universiti dan kolej perlu diwujudkan satu subjek wajib mengenai kebudayaan dalam usaha memastikan pengajian mengenai budaya tidak terhenti di peringkat sekolah sahaja.

“Kita mengesyorkan supaya di universiti sendiri mesti ada pengajian tetap berhubung pembudayaan dan cara memperbaiki kehidupan di Malaysia, Transformasi Nasional (TN 50) dan lain-lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE