Dalam naskah Syair Burung, pembaca dewasa biasanya akan menterjemahkan ayat-ayatnya dalam bentuk lagu atau lenggok irama tersendiri untuk mengajar anak-anak memahami hal-hal yang berkait dengan Islam.

Namun demikian, seorang ahli akademik Belanda, Profesor Dr. Edwin Wierenga berkongsi cerita, perubahan masa yang berlaku menyebabkan naskah Syair Burung itu tenggelam dan ia dibawa pergi oleh arus zaman selepas abad ke-20.

“Teks dalam naskah Syair Burung mengisahkan perihal sekumpulan burung yang berkumpul dan bercerita tentang Islam terutamanya mengenai akidah dan ia mula dikarang pada tahun 1772 dengan menggunakan bahasa Melayu berdialek Minangkabau.

“Ia dijadikan sebagai bahan bacaan untuk anak-anak kecil dan ia mungkin digunakan dalam sesi persekolahan ketika itu sebagai alat ilmu menyampaikan untuk ilmu,” ujar Edwin yang pernah mengikuti pengajian dalam bidang filologi dan pengajian Islam dengan pengkhususan Islam di Asia Tenggara.

Dia berkata demikan ketika ditemui Utusan Online dalam program Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) : Syair Burung Medium Pendidikan Untuk Anak-Anak yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Turut hadir, Felo Penyelidik ATMA, Faisal Tehrani.

Ujar Edwin lagi, walaupun segelintir masyarakat berpendapat karya Melayu yang tersimpan elok di Perpustakaan Nasional Republik Indonesia tersebut kurang menarik, Syair Burung itu sebenarnya mempunyai banyak versi dan mendapat salinan semula daripada pelbagai pihak, baik dalam bentuk naskah mahu pun litografi.

“Anggota masyarakat tidak seharusnya membandingkan karya alam Melayu dengan karya terbitan Parsi misalnya kerana isi kandungan kedua-dua penulisan adalah berlatar belakangkan sosio-budaya mengikut tempat.

“Jadi tujuan wacana ini diadakan adalah untuk mengetengahkan versi sedia ada dan cuba menjawab persoalan tentang faktor yang menyebabkan Syair Burung ini popular suatu masa dahulu.

“Adakah kerana ia memuatkan ajaran agama Islam yang asas atau kerana ia hadir dalam bentuk syair yang mudah diakses sekali gus sesuai dengan pengisiannya yang bersifat mesra dengan anak-anak?” soal Edwin ketika membicarakan topik utama wacana tersebut.

Dalam masa sama, Edwin turut menegaskan jika melihat keadaan semasa hari ini, bukannya tidak bagus untuk menulis kembali Syair Burung tersebut namun terdapat kaedah lain yang mungkin lebih praktikal untuk menarik minat generasi muda.

“Pengajaran tentang Islam dan akidah tidak harus terhenti dan ia boleh dilakukan serta disampaikan mengikut citarasa orang-orang zaman sekarang seperti dalam bentuk komik, video dan sebagainya.

“Namun berbalik kepada wacana Syair Burung ini, ia tetap merupakan antara naskah Melayu klasik berteraskan sastera Islam yang pernah mempunyai ramai pengikutnya yang tersendiri suatu masa dahulu,” katanya. - UTUSAN ONLINE