Suri rumah, Aminurzaliah Ab­dullah Thani, 41, berkata, ini me­rupakan percubaan kali pertamanya menyertai peraduan ter­sebut dan bersyukur kepada Ilahi kerana dimurahkan rezeki untuk menjadi pemenang utama dengan membawa pulang sebuah kereta Proton Iriz 1.6 Premium tajaan Proton Holdings Bhd.

“Alhamdulillah usa­ha tersebut membuahkan hasil, saya amat gembira dan tidak menyangka dapat memenangi hadiah utama iaitu Proton Iriz, sebab sebelum ini memang ada terfikir ingin membeli kereta baharu dan tak sangka pula hari ini menang kereta.

“Idea untuk membuat replika ini datang daripada suami saya dan dia juga banyak membantu.

“Setiap hari dia akan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Setelah berbincang dengan suami untuk masuk pe­raduan #UMenangsakan, saya mula me­ngumpul 70 keratan kepala akhbar bagi kedua-dua akhbar ini sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Aminurzaliah berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Penyampaian Hadiah Peraduan #UMenangsakan Bulanan dan Bonanza Edisi Akhir di Ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Dalam pada itu, ibu kepada empat cahaya mata itu turut berterima kasih kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia kerana menganjurkan peraduan sebegini dan berharap pe­raduan yang sama akan diadakan lagi pada masa akan datang.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Hassan Mohd. Noor dan Pe­ngarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Selain hadiah utama Proton Iriz, tiga lagi pemenang menerima hadiah televisyen Pensonic 40 inci, tiga unit telefon pintar dan 25 utas jam tangan Ice Watch.

Bagi Siri C - Edisi Ketiga (Edisi Akhir) dan Bonanza peraduan berkenaan, sebanyak 6,000 penyertaan diterima dalam pe­nganjuran bermula pada 1 Oktober 2017 hingga 31 Mac lalu.

Pemenang peraduan merupakan mereka yang berjaya menghasilkan objek dan replika dalam pelbagai saiz, bentuk dan konsep yang berasaskan penggunaan 70 keratan kepala akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.