Festival muzik yang diadakan secara percuma dan diberi nama Rhythm of the Farmers (ROTF) itu merupakan cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bertujuan menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam industri pertanian dengan satu acara berbentuk hiburan.

Suntikan elemen agrotainmen dalam MAHA 2016 melalui ROTF diharapkan juga dapat memaparkan suasana yang menarik serta ceria, dan dalam masa yang sama me­nyampaikan mesej penting iaitu ‘Makanan Kita, Masa Hadapan Kita’.

Festival yang akan bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 12 malam itu, akan menampilkan barisan artis jemputan popular dari dalam dan luar negara pada setiap hari dengan persembahan utama daripada legenda muzik rock tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip, selain kumpulan Khalifah serta Wali Band dari Indonesia.

Lengenda rock Ramli ketika ditemui berkata, beliau akan membuat persembahan dalam ROTF pada 10 Disember ini bersama beberapa artis lain dalam segmen Otai Rock Kembali.

“Pada hari tersebut, beberapa buah lagu akan saya sampaikan terma­suk lagu po­pular dan sentiasa menjadi siulan se­­perti Ka­melia dan Teratai, namun tidak ketinggalan sempena MAHA 2016 sudah tentunya lagu se­perti Temasya Desa Gemalai, Rasa Tempatan dan Blues Felda Blues yang mempunyai kaitan dengan pertanian dan perladangan akan turut saya persembahkan.


Video oleh NURUL ANUAR MANSOR

“Bagi saya, MAHA 2016 perlu dikunjungi kerana banyak perkara yang positif ditampilkan dalam pameran sebegini. Di sini lah tempat yang sesuai untuk kita menghargai kesu­buran tanah dan bumi yang telah dianugerahkan tuhan kepada negara kita selain mengiktiraf jasa, pengorbanan dan keringat golongan petani, penternak dan nelayan” katanya.

Pada persembahan itu, dia akan turut menyampaikan mesej kepada penonton tentang pentingnya masyarakat untuk berbakti kepada bumi serta menjaga alam yang telah dikurniakan tuhan ini.

“Berbaktilah kepada bumi nescaya akan dibalasnya dengan baik, itulah prinsip yang saya pegang selama ini. Saya melihat kerja sebagai petani dan peladang merupakan pekerjaan yang cukup mulia.

“Jika 40 tahun dahulu saya tidak menjadi penyanyi dan pemuzik tentu saya memilih menjadi petani lebih-lebih lagi bila melihatkan teknologi pertanian yang semakin moden serta bumi Malaysia yang cukup subur ini,” katanya.

Semasa MAHA 2016, satu kawasan berbukit yang diberi nama D’Lereng dibina sebuah pentas dan cerun tersebut menjadi ampiteater semulajadi untuk pe­ngunjung dan penonton duduk dan menikmati persembahan ROTF.

Bukan sahaja di D’Lereng, kehangatan ROTF juga dibawa ke lokasi-lokasi lain sekitar MAHA termasuk persembahan dalam dewan pameran, di hentian tram dan tempat-tempat lain yang menjadi tumpuan pengunjung.

Turut membuat persembahan pada ROTF nanti adalah pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad bersama Search Tribute Band yang dijadual berlangsung pada 4 Disember ini.

Menurut Yazid, Search Tribute Band merupakan sebuah kumpulan yang dia didik dan kumpulan tersebut sehingga kini mampu mengadakan persembahan secara live mendendangkan hampir 40 buah lagu daripada kumpulan Search.

“Pada ROTF nanti, kira-kira 13 lagu akan kami persembahkan dan insya Allah kami akan memberikan persembahan terbaik pada malam tersebut. Pada peminat-peminat saya bolehlah datang memberikan sokongan dengan menyaksikan persembahan kami nanti.

“Saya harapkan juga agar orang ramai dapat datang bersama keluarga sempena musim cuti sekolah ini untuk mengunjungi pelbagai acara dan pameran yang telah disusun sepanjang penganjuran MAHA 2016,” katanya.

Seorang penyanyi yang lama menyepi, Man Bai menyatakan kesediaannya untuk menggegarkan MAHA 2016 dengan menjanjikan persembahan yang akan meninggalkan kenangan buat pengunjung terutama peminat-peminatnya.

“Saya merasa amat bertuah kerana diundang untuk membuat persembahan pada program sebesar ini di hadapan peminat-pe­minat yang merindukan kehadiran daya dalam industri muzik. Saya berjanji akan membuat persembahan terbaik walaupun secara lebih santai,” katanya.

Man Bai yang akan muncul dalam slot pada 9 dan 10 Disember ini, bakal menyampaikan antara empat atau lima lagu termasuk lagu hitnya Kau Ilhamku, selain menyanyikan lagu daripada kumpulan Gersang se­perti Masih Aku Terasa, Sunyi dan dari album solo­nya, Sebenarnya.

“Semoga pe­ngunjung MAHA kali ini terhibur de­ngan persembahan saya dan beberapa rakan artis lain de­ngan membawa pulang ke­nangan indah,” ujar­nya.