Turut berangkat hadir Teng­ku Permaisuri Sela­ngor Tengku Permaisuri Norashikin.

Ketibaan baginda berdua di Stesen LRT Glenmarie, Shah Alam pada kira-kira 10 pagi disambut oleh Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Pengangkutan rel Prasarana itu merangkumi per­khid­matan Aliran Transit Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan Monorel.

Baginda berdua turut ber­kenan menaiki LRT menuju ke KL Sentral di sini sebelum bertukar ke per­khidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Ste­sen MRT Muzium Negara untuk meninjau suasana di stesen tersebut.

Baginda berdua kemudian berkenan berangkat menaiki MRT ke stesen MRT Stadium Kajang untuk santapan tengah hari di Restoran Sate Kajang Haji Samuri.

Selepas itu, baginda berdua berkenan berangkat ke Stesen MRT Merdeka untuk me­lakukan tinjauan di stesen berkenaan ter­masuk bergambar di ukiran Rukun Negara sebelum ke stesen Monorel Bukit Nanas.

Sementara itu dalam titah baginda yang disiarkan dalam instagram Selangor Royal Official, baginda berharap rakyat akan terus mengguna­kan pengangkutan awam MRT dan LRT dengan berhemah serta sentiasa menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan stesen dan di dalam tren.

“Beta dapat lihat per­khidmatan MRT dan LRT yang dibina oleh kerajaan ini sebagai satu usaha yang sangat baik dan membanggakan. Beta sendiri merasai keselesaan ketika menaikinya dan kagum dengan teknologi dan sistem yang diguna pakai.

“Justeru rakyat haruslah menghargai dan tidak melakukan vandalisme atau kerosakan kepada kemudahan-kemudahan yang di­sediakan. Semoga perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien sebegini akan terus memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” titah baginda.