Video oleh AHMAD ZAKKI JILAN

Serentak dengan itu, baginda kini bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.


Ia membawa maksud ‘Sultan Abdullah pembela agama yang terpilih oleh Allah’.


Pemasyhuran tersebut disempurnakan dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.


Bertitah pada istiadat berkenaan, Sultan Abdullah akan menjadikan legasi pemerintahan ayahanda baginda yang berpaksikan kepada frasa keramat ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ sebagai cogan utama pemerintahnnya.


“Kepada rakyat jelata sekalian, saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak’.


“Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah dan menumpang kasih apabila berduka,” titah baginda.


Dalam pada itu, baginda bertitah, kekuatan sebuah negeri adalah kerana raja pemerintah manakala kekuatan raja terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.


Sehubungan itu, titah baginda, pepatah Melayu lama ada berpesan iaitu ‘ kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya’.


“Menyedari hakikat ini, saya menyeru kepada saf kepemimpinan negeri di setiap lapisan peringkat untuk berkhidmat kepada rakyat jelata dengan penuh amanah, bertanggungjawab serta menjunjung sifat ketakwaan,” titah baginda.


Sultan Abdullah mengakhiri titah dengan memetik kata-kata Saidina Abu Bakar as-Siddiq tatkala diangkat menjadi khalifah pertama yang diharap menjadi panduan sepanjang pemerintahan baginda.


Kata-kata itu berbunyi: ‘Sesungguhnya aku telah dilantik sedangkan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berbuat baik maka bantulah aku. Jika aku berbuat salah maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah amanah sedangkan pendustaan adalah khianat. Maka taatlah kepada aku selama mana aku taat kepada Alla SWT dan Rasul-Nya. Jika aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka tidaklah perlu kamu mentaati aku.’ - UTUSAN ONLINE