Video oleh FARID JANUDIN

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin memberitahu, negeri ini mencatat peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) kepada 2.91 mengatasi PNGK nasional 2.76.

Menurut beliau, kesemua calon lulus penuh sekurang-kurangnya memperolehi 1 prinsipal di samping peningkatan jumlah calon yang memperoleh kesemua A melonjak daripada 55 calon kepada 77 calon bagi tahun 2017.

"Turut membanggakan apabila PNGK calon luar bandar meningkat kepada 2.92 berbanding tahun sebelumnya 2.85 manakala calon bandar pula 2.89 berbanding 2.84 (2016)," katanya ketika pengumuman keputusan STPM 2017 peringkat negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transfomasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang.

Beliau berkata, seramai 2,415 calon telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun lalu berbanding 2,263 orang pada tahun 2016.

Daripada jumlah itu, seramai 23 calon memperoleh semua A penuh (PNGK 4.0), 77 memperoleh semua A (3.20 peratus), 5P & 4P seramai 1,880 (78.14 peratus), Lulus Penuh seramai 2,393 (99.67 peratus) dan Lulus Sebahagian seramai 8 (0.33 peratus).

Sebanyak 10 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas, antaranya Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu (3.45), SMA Maarif Besut (3.33), SMK Saujana Setiu (3.28), dan SMK Bukit Besar (3.20).

Seramai 23 calon STPM diumumkan sebagai pelajar terbaik yang mendapat semua A (AA) dengan PNGK 4.00 antaranya Muhammad Zakiy Majdee Shahrul dan Nurul Atikah Ab. Manaf, masing-masing dari SMKA Maarif, Besut, diikuti Siti Zaliha Baharuddin, Zainatun Zanariah Mohd Asri (SMK Nasiruddin Shah) dan Kamarul Aizat Zamani (SMK Renek).

Juga Nur Fatihah R. Asari, Nor Aini Fatirah Hashim, Siti Nur Safiah Razak, Arifah Jusoh, Siti Nur Hidayu Ahmad, Nor Hidayah Yusof, Nur Nabilah Mohd Ghani, Nor Azizah Sabrina Aziz, Nurul Natasha Mohamad, Nurfatma Azzahra Mahussain, Hawa Fariehah Mustapha, Nurul Syazwanie Yusof, Nurul Hafiza Muda, Lau Shuk Ai, Nurhaida Natasha Harun, Mohammad Luqman Hakim Saifudin, Nurul Farhana Syafiqa Nordin dan Nur Aishah Ismail.

Sementara itu A. Latiff yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada semua calon dan warga pendidik dalam memartabatkan pendidikan dan membanggakan negeri dengan menyifatkannya sebagai satu lagi siri kisah kejayaan Terengganu.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akan meraikan kejayaan pelajar pada 8 Mac ini di samping menghadiahkan sebuah komputer riba kepada setiap 23 pelajar cemerlang (PNGK 4.0) dan 77 lagi pelajar yang memperoleh 4A (A & A-) akan menerima tablet. - UTUSAN ONLINE