Malah skim itu turut menawarkan kadar dividen yang tinggi sehingga mencecah empat peratus pada tahun lalu serta memberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM6,000 setahun kepada ibu bapa selain perlindungan takaful percuma untuk pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM1,000.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini menunjukkan skim penabungan yang dilaksanakan itu berada di landasan terbaik ketika ini.

“Kita mahu rakyat beralih arah, apabila sampai masanya nanti, rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan masing-masing.

“Jadi untuk generasi akan datang, apabila tamat pe­ngajian di universiti, mereka tidak akan terbeban dengan sebarang bentuk hutang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Lawatan Prihatin PTPTN ke Wad Kanser Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengiringi beliau ialah Ketua Jabatan Institut Pediatrik, Dr. Hishamshah Mohamad Ibrahim.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu diadakan sempena Hari Kanser Sedunia.

Dalam lawatan tersebut, PTPTN memberikan pelbagai jenis sumbangan antaranya pembukaan akaun atau penambahan deposit SSPN1M kepada 300 pesakit, peralatan sokongan pendidikan kepada sekolah dalam hospital, hamper, tabung SSPN1M dan kit makanan untuk ibu bapa, penjaga dan kakitangan Institut Pediatrik.

Pada masa yang sama, Shamsul Anuar turut mengharapkan lebih ramai ibu bapa yang membuka akaun SSPN1M kerana PTPTN telah memperuntukkan dana berjumlah RM250 juta kepada 500,000 ibu bapa terawal bagi anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun di bawah Insentif Khas Geran Sepadan bertemakan ‘Simpan RM500, Percuma RM500’.

“Setakat 31 Januari sahaja, sebanyak 44,200 akaun me­nerima Geran Sepadan iaitu sebanyak RM22.1 juta.

“Jadi bagi ibu bapa yang menabung sekurang-kurangnya RM500 sepanjang tahun ini, kerajaan akan memberi deposit percuma berjumlah RM500,” ujar­nya.

Secara tidak langsung katanya, skim itu boleh dimanfaatkan sesiapa sahaja termasuk yang mengalami masalah kesihatan,.

Beliau menegaskan, pendekatan PTPTN akan sentiasa memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada kerajaan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam semua lapisan masyarakat.