Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, anak-anak tempatan di daerah ini harus diberi peluang untuk mendapat faedah daripada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID).

Ketika ini, SMK Tanjung Pe­ngelih hanya memiliki 58 pelajar dan 14 guru berikutan ramai penduduk yang dipindahkan ke Taman Bayu Damai bagi memberi laluan projek RAPID.

“Kementerian bersetuju untuk menaik taraf sekolah ini kepada kolej vokasional yang mempunyai pengkhususan minyak dan gas kerana bidang ini memerlukan banyak tenaga kerja, bukan hanya untuk setahun dua tetapi tempoh masa yang cukup lama.

“Kita bukan hendak menolak 58 pelajar ini dan jika mereka ingin kekal, kita benarkan. Tetapi dengan jumlah 32 bilik darjah, sekolah ini boleh dinaik taraf menjadi kolej vokasional,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Parlimen Pengerang di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu jelas Mahdzir, pihaknya juga akan cuba menjalinkan usahasama dengan syarikat swasta berdekatan bagi memberi peluang pelajar Kolej Vokasional Pengerang itu menjalani latihan praktikal di syarikat mereka.

“Mungkin kita boleh beker­jasama dengan Johor Petroleum­ Development Corporation (JPDC), Dialog Group Berhad ataupun syarikat dari Arab Saudi, Aramco supaya pelajar dari kolej vokasional ini nanti boleh menjalani latihan mahupun bekerja di tempat mereka,” katanya.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar dari Pengerang untuk belajar di kolej berkenaan sebelum dibuka untuk orang luar.

Menurutnya, kerajaan akan mencari dana tambahan bagi membina asrama dan proses menaik taraf dijangka mengambil masa setahun.