Video oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

Inilah anggota Peronda Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) seramai 17 orang yang ditugaskan untuk memastikan semua jemaah haji Malaysia berada pada kedudukan selamat dan boleh beribadah dengan tenang dan selesa, khususnya di Masjidilharam.

Mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘skuad lipan bara’, telah membuktikan keupayaan membantu jemaah haji yang berpisah dengan kumpulan mereka untuk kembali ke penginapan masing-masing di sekitar Mekah.

Ketua Unit Peronda 1438 Hijrah, Wan Shamshol Husin berkata, antara tugas utama pasukan tersebut adalah untuk menunjukkan arah kepada jemaah haji sama ada untuk kembali ke maktab penginapan mahupun untuk melakukan ibadah di Masjidilharam.

“Anggota peronda ditempatkan di lapan lokasi dalam Masjidilharam dan kami mudah dilihat oleh jemaah haji dengan pemakaian baju T berwarna merah,” katanya kepada wartawan Malaysia di Wisma Tabung Haji Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Menurut Wan Shamshol, unit peronda tersebut terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

“Antara cabaran yang kita hadapi adalah dalam kalangan yang telah berumur dan dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Kita akan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat semasa beribadah,” jelasnya.

Tambahnya, unit ini akan bertugas 24 jam selama seminggu dan dibahagikan kepada tiga syif iatu 7 pagi hingga 2 petang, 2 petang hingga 10 malam dan 10 malam hingga 7 pagi keesokannya.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah haji berada di Tanah Suci untuk musim haji 1438 Hijrah.

Sementara itu, Koperal Zahisan Zahari, 43 berkata, tugas sebagai anggota Peronda Tabung Haji dipikul dengan penuh tanggungjawab sebaik sahaja me­nerima tawaran daripada Tabung Haji untuk berkhid­mat di Tanah Suci.

“Saya bersama pasukan akan memberikan tumpuan kepada jemaah dan biasanya apabila mereka bertemu kami, antara yang ditanya adalah di mana maktab penginapan mereka.

“Kami juga mengenali mereka melalui lanyard (penyandang tali pengenalan diri) yang dipakai,” katanya.

Dia yang merupakan anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang membe­ritahu, kebanyakan jemaah yang tersasar itu adalah yang kali pertama datang ke Tanah Suci.

“Bila mereka tiba dan mela­kukan umrah wajib dalam kumpulan. Apabila berpecah, ada dalam kalangan jemaah tersasar daripada kumpulan dan waktu itulah mereka tidak tahu mencari jalan pulang ke maktab penginapan.

“Di sinilah peranan Peronda Tabung Haji yang bukan sahaja memantau pergerakan tetapi membantu membawa jemaah sakit ke pusat rawatan dan hal-hal kebajikan yang lain,” ujarnya.

Hasil pengamatan beliau berada di Tanah Suci ini sejak beberapa hari lalu, kes tersasar dari kumpulan selepas mengerjakan umrah wajib adalah yang paling banyak.

Sarjan Hasnol Abu Hassan, 49 yang merupakan Polis Bantuan Tabung Haji pula berkata, dia akan memastikan anggota peronda mengikut jadual tugasan yang ditetapkan.

“Saya turut meronda dan pada masa yang sama mengatur jadual peronda. Antara yang kita beri tumpuan adalah keselamatan jemaah pergi ke Masjidilha­ram dan balik semula ke maktab penginapan.

“Pasukan peronda akan berada di beberapa stesen, khususnya dalam Masjidilharam,” katanya. – UTUSAN