Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program Penyerahan Cek Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil Tahun 2017 adalah julung kali diadakan melibatkan 157 buah SJKT dengan nilai keseluruhan RM25 juta.

“Sumbangan melibatkan 11 buah negeri secara keseluruhannya. Iaitu Perak (RM7.03 juta), Selangor (RM6.21 juta), Johor (RM2.50 juta), Negeri Sembilan (RM1.60 juta), Kedah (RM2.16 juta), Pahang (RM1.75 juta), Melaka (RM1.25 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM1.01 juta), Pulau Pinang (RM1.04 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM300,000),” katanya ketika ditemui di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan dan Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam.

Dana RM25 juta bertujuan memberi kemudahan kepada pihak sekolah memperbaiki infrastuktur sekolah masing-masing agar lebih sempurna dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

Mahdzir menambah, KPM akan memastikan tidak ada sekolah yang tercicir dan sekolah-sekolah akan dibantu secara adil serta saksama secara berperingkat-peringkat.

“Hasrat ini selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sumbangan yang diberikan ini amat penting dalam membantu pihak sekolah menguruskan penyelenggaraan yang perlu dilakukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE