Membawa makna segala maksud yang baik, nama tersebut yang dipilih bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sejak kandungannya berusia tujuh bulan.

Menunaikan janji untuk mendedahkan wajah dan nama anaknya selepas tujuh hari kelahiran, penyanyi itu turut mengadakan majlis tahnik, cukur jambul dan akikah buat puteri sulung di kediamannya yang di­sempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Dzulkifli al-Bakri.

“Pengalaman bergelar ibu selepas tujuh hari sangat menakjubkan, kali pertama merangkul Siti Aafiyah saya bagaikan tidak percaya.

“Apapun menjadi seorang ibu bukan mudah. Selepas ini ada tanggungjawab lebih besar buat saya untuk mendidik anak saya, itu yang paling penting,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Bercakap mengenai kea­daan kesihatannya selepas tujuh hari melahirkan bayi sulung, Siti Nurhaliza, 39, memberitahu, beliau berada dalam keadaan yang sihat dan sedang menjalani pro­ses berpantang seperti wanita bersalin yang lain.

“Pengalaman melahirkan anak itu berbeza buat setiap wanita. Saya juga melalui komplikasi apabila kehilangan banyak darah.

“Tetapi alhamdulillah, de­ngan kecekapan doktor semuanya selamat. Malah pada hari ketiga selepas melahirkan anak saya sudah mula bergerak,” kongsinya lagi.

Siti Nurhaliza melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan seminggu lalu bersempena dengan 1 Rejab.

Sebelum nama Siti Aafiyah diumumkan, Siti Nurhaliza dan suaminya sepakat menggunakan nama sementara Fatimah Az-Zahra buat permata hati mereka.