Video oleh HASNURUL MOHAMED

Bertemakan Misi Beli Rumah, simposium selama dua hari, bermula hari ini itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan Navaratnam.

Dalam ucapannya, Navaratnam berkata, untuk tempoh jangka panjang, rakyat khususnya orang Melayu perlu memiliki sebuah rumah sendiri.

“Macam manakah idea untuk membeli rumah, perlu dirancang daripada sekarang. Kita semua mempunyai banyak kemahuan dan kehendak tetapi kemampuan kita adalah terhad. Jadi, jika ada kesanggupan, misi akan tercapai,” katanya yang memuji tema Misi Beli Rumah pada simposium kali ini.

Turut hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalannya, Datuk Othman Mohamad, Pengarah Urusan Medimesra Care Management Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib serta Ketua Operasi Jualan dan Pemasaran Kumpulan Utusan, Marlan Daud.

Jayaselan tidak menafikan, setiap tahun harga rumah naik sebanyak 10 peratus dan sering kali perancangan individu untuk membeli rumah, terbantut.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan akan membangunkan semula tanah wakaf yang mana nilainya tidak boleh dituntut serta mengujudkan kaedah syariah dalam kemajuan perumahan seperti mana yang telah disebut oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar awal tahun ini.

Terdahulu, Othman dalam ucapannya berkata, orang ramai perlu mempunyai pengetahuan asas tentang harta selain daripada ilmu dalam bidang hartanah.

“Inilah peluang untuk orang ramai mendapatkan informasi atau maklumat yang tepat mengenai hartanah selain daripada mengetahui perkembangan pasaran terkini, tip-tip melangsaikan hutang rumah dan sebagainya.

“Simposium Hartanah Utusan juga merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial yang tidak bermotifkan keuntungan serta di luar konteks penerbitan,” katanya.

Othman berkata, perkongsian pengalaman daripada 11 penceramah bersama para peserta simposium juga akan menambah ilmu pelaburan dalam bidang hartanah. - UTUSAN ONLINE