Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Ini terbukti apabila dua murid Myanmar berstatus pelarian beragama Buddha diterima dengan bebas untuk mendapatkan pendidikan di sebuah sekolah kelolaan pertubuhan bukan kerajaan Rohingya.

"Kita layan semua dengan baik, tak kira agama atau bangsa kerana kita perlu berbaik dengan semua manusia," kata Pengetua Knowledge Garden Learning Centre School, Mohd. Rafique Khairul Bashar

"Mereka masih kanak-kanak, jadi perlu juga terima pendidikan. Kami terima atas dasar kemanusiaan," tambah Rafique yang ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan oleh Yayasan Kumpulan Utusan, di sini hari ini.

Sekolah yang mempunyai seramai 62 orang murid ini bergerak di atas ihsan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mula dibuka sejak tahun 2013.

Dalam majlis hari ini, sebanyak RM3,000 diserahkan kepada sekolah berkenaan.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh. Turut hadir, Pengurus Pengurusan Jenama, Utusan Melayu Berhad, Hazura Ahmad Halil.

Dalam majlis ini, seramai 12 murid cemerlang yang berumur di antara 5 hingga 12 tahun diberikan hadiah dan cenderahati bagi meraikan kejayaan mereka dalam peperiksaan.

Menurut Hazura, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada kutipan Tabung Rohingya yang diadakan secara kerjasama dengan Tabung Haji mulai 2016. - UTUSAN ONLINE