Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Aktivis sosial, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan Malindo Air yang seolah-olah sengaja melengahkan pembayaran cukai tertunggak bernilai RM70 juta itu turut boleh disiasat di bawah peruntukan jenayah pecah amanah (CBT).

“Sepatutnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat masalah ini. Jelas, mereka tiada dana (untuk menjelaskan tunggakan itu), dan sudah menggunakan dana yang bukan kepunyaan mereka. Adakah ini dibenarkan?

"Berdasarkan perundangan, tindakan itu melibatkan unsur jenayah pecah amanah dan siasatan perlu dijalankan untuk menjernihkan keadaan," kata Tunku Abdul Aziz dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Malindo Air adalah syarikat penerbangan tambang murah milik asing dengan 95 peratus ekuiti dipegang oleh pengasas Lion Group, Rusdi Kirana.

Mei lalu, media Indonesia melaporkan Rusdi dilantik sebagai Duta Besar ke Malaysia dan turut dipetik sebagai berkata, beliau secara peribadi memohon jawatan itu daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo. - UTUSAN ONLINE