Video Oleh HAKIMI ISMAIL

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jumlah itu membabitkan kutipan kompaun sebanyak RM400 juta sekali gus membuktikan program tersebut berjaya mengurangkan PATI di negara ini.

Menurutnya, program 3+1 akan berakhir sepenuhnya pada 30 Ogos ini tanpa sebarang lanjutan, justeru, PATI digesa mengambil peluang keemasan itu secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Jabatan Imigresen memberi peluang kepada PATI untuk menyerah diri secara sukarela melalui program ini bagi mengelak mereka ditangkap dalam Ops Mega 3.0 yang sedang dijalankan secara besar-besaran ketika ini.

“Kita tidak akan melanjutkan lagi tempoh program ini. PATI yang tampil menyerah diri untuk dihantar pulang hanya dikenakan bayaran RM400 untuk pas khas serta denda,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Mustafar, bagi memastikan kelancaran program berkenaan, pihaknya akan membuka kaunter penerimaan dan pemprosesan program 3+1 pada cuti hujung minggu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka pada 4, 5, 11, 12, 18 dan 19 Ogos ini manakala bagi negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu, kaunter akan dibuka pada 3, 4, 10, 11, 17 dan 18 Ogos ini.

“Jangan tunggu hingga saat akhir untuk serah diri. Kita sudah umum awal, jadi selesaikan awal. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, kita mahu 'memerdekakan' Malaysia daripada PATI dan selepas ini operasi berterusan akan dijalankan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana PATI yang masih berada di negara ini digesa mengambil peluang yang masih ada untuk hadir ke Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen di seluruh negara untuk menyertai program berkenaan.

Sementara itu, jelas beliau, Jabatan Imigresen juga mengambil serius sikap sambil lewa pesalah yang gagal menjelaskan bayaran kompaun bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Ada pesalah termasuk majikan dan PATI yang layak dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang sudah berakhir pada 30 Jun lalu gagal menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh ditetapkan.

“Kita akan mengambil tindakan keras dengan menyenaraihitamkan pesalah berkenaan secara BioSL (senarai hitam melalui biometrik) bermula 1 September ini. Mereka yang disenaraihitamkan tidak akan dikeluarkan pasport dan dokumen perjalanan, tidak dibenarkan meninggalkan negara dan tidak dapat melakukan sebarang urusniaga di Jabatan Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak Januari hingga Khamis lalu, pihaknya telah menjalankan sebanyak 8,694 operasi di seluruh negara membabitkan pemeriksaan terhadap 108,000 orang dan daripada jumlah itu, sebanyak 26,200 PATI dan 700 majikan berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan.