Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sejak diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu di negara ini senaman itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan berpotensi untuk diperluaskan ke seluruh dunia kerana keunikannya.

Katanya, melalui senaman itu bukan sahaja dapat memperkenalkan warisan masyarakat negara ini malah memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kehalusan budaya tempatan menerusi aktiviti kecergasan.

"Selama ini banyak senaman yang masuk ke negara ini tetapi bukan milik kita. Sebab itu kita mahu zafina popular seperti senaman zumba dan poco-poco," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Mobile Zafina di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Kecergasan Zafina Malaysia, Yazid Abdul Rani dan Presiden Kelab Kecergasan Energetic Gemilang, Zalina Zainal.

Majlis turut dimeriahkan dengan senaman zafina selama empat jam yang disertai seramai 500 peserta.

Sementara itu, Yazid yang juga pengasas senaman itu berkata, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama doktor dan pakar kesihatan itu akan menjadi rujukan kepada jurulatih zafina dan orang ramai tentang pergerakan senaman berkenaan.

"Aplikasi ini boleh diakses secara percuma dan orang ramai juga boleh mencari jurulatih dan melihat kelayakan serta lokasi mereka," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 500 jurulatih dan hampir 6,000 pengamal senaman itu. - UTUSAN ONLINE