Sejak daripada tempoh tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi mampu berjalan dengan pergerakan beliau ke mana-mana hanya dibantu dengan sokongan kerusi roda.

Meskipun terpaksa berhadapan dengan dugaan tersebut, Shahidan terus kuat dan tidak pernah sama sekali berputus asa ketika melalui proses pemulihan penyakit berkenaan yang sudah berlarutan lebih daripada empat bulan.

Dalam keadaan itu, Shahidan masih mampu menghadiri sidang Parlimen selain tidak pernah melupakan urusan parti meskipun terpaksa berulang alik daripada Perlis ke Kuala Lumpur.

Alhamdulilah, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu sudah mampu berjalan malah turut boleh berlari meskipun difahamkan penyakit seperti itu sekurang-kurangnya memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.

Perkembangan terbaharu Shahidan itu dikongsikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar melalui status di laman facebooknya malam ini.

Kata Syed Atif, daripada terlantar dan berkerusi roda, Shahidan kini sudah boleh berjalan dan berlari.

“Beliau (Shahidan) menjalani proses pemulihan dalam tempoh lebih kurang empat bulan ketika pesakit-pesakit lain biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih. Ada juga yang tidak berjaya bangun semula.

“Seperkara yang perlu kita semua ketahui ialah rawatan pemulihan beliau dibuat sepenuhnya di hospital kerajaan dan bukan di hospital swasta yang mahal-mahal,” katanya.

Tambah Syed Atif, semangat yang ditunjukkan oleh Shahidan cukup luar biasa sepanjang beliau berusaha dan berikhtiar mengatasi penyakit ini.

“Sebelum ini, ramai yang minta beliau berehat daripada tugas sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Arau. Saya sendiri juga pernah menyuarakan perkara sama tetapi beliau maklumkan ada sidang Parlimen yang perlu dihadiri selain urusan lain berkaitan parti. Sesungguhnya beliau tidak mahu bercuti daripada terus berkhidmat untuk rakyat.

“Semoga kisah ini menjadi teladan kepada hamba-hamba Allah lain yang diuji dengan apa jua jenis penyakit. Teruslah bersemangat, jangan sesekali berputus asa dan jangan berhenti berdoa. Kesakitan dan kesembuhan itu milik Allah. Selamat kembali DSSK (Datuk Seri Shahidan Kassim),” katanya. - UTUSAN ONLINE