Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, negara itu boleh menafikan dakwaan pencabulan dan penindasan ter­hadap etnik Rohingya, namun mereka perlu mengemukakan bukti yang kukuh bagi menyokong penafian tersebut.

Beliau menambah, Myanmar yang sedang melaksanakan penambahbaikan proses demokrasi perlu mengembalikan semula kredibilitinya berikutan krisis Rohingya.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

“Terdapat bukti-bukti mengenai penderitaan masyarakat Islam Rohingya termasuk rakaman video yang tular melalui media sosial.

“Penafian itu agak sukar dibuktikan oleh mereka (Myanmar) memandangkan mereka mengamalkan demokrasi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar di sini hari ini.

Sementara itu Syed Hamid menegaskan, komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak kumpulan minoriti Myanmar adalah berlandaskan sifat kemanusiaan selain mahu saluran diplomatik digunakan bagi menyelesaikan isu berkaitan etnik Rohingya.

“Kita tidak mahu mendesak, tetapi mereka perlu menghentikannya, itu sangat penting,” jelasnya.