Ketua Pegawai Sektor Rangkaian Keselamatan, Pengurusan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, kebanyakan kes berkenaan berlaku di media sosial dengan laman Facebook dilaporkan sebagai bilangan aduan yang paling tinggi diterima dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Katanya, jumlah kes itu tidak menunjukkan angka yang besar kerana didapati masih ramai lagi mangsa enggan tampil membuat laporan.

“Malah, ada segelintir kanak-kanak yang menjadi mangsa buli siber juga mengambil jalan selamat dengan hanya mendiamkan diri daripada melaporkan kepada kami,” katanya dalam sesi panel Cara Mengenal Pasti dan Menangani Kes Buli Siber sempena Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017 di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood; Pengerusi Penganjur MSMW 2017, Rizmel Nazrin dan Pengarang Kanan Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar yang mewakili Penga­rah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohamed Noordin Abbas.

Dalam pada itu, jelas Fadh­lullah, berdasarkan Laporan Kajian Kebangsaan 2014 mengenai Keselamatan Siber di Sekolah, sebanyak 24 peratus pelajar sekolah dalam lingkungan usia 13 sehingga 15 tahun, didapati pernah berdepan dengan gejala buli siber.