Justeru, beliau memaafkan individu tersebut dan tidak mahu bermusuh dengan ahli keluarga yang merupakan jiran di kediamannya di Sungai Buloh.

Mengulas kejadian tersebut, Sohaimi berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Saya memaafkan dia dan ahli keluarganya atas kejadian yang berlaku dan menganggap insiden tersebut sebagai takdir.

“Saya tidak menyimpan sebarang dendam kerana hubungan saya dengan keluarga lelaki itu sangat baik,” katanya yang sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara.

Turut hadir melawat beliau ketika itu ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta jiran-jirannya di Taman Desa Moccis.

Sohaimi Shahadan mengalami kecederaan di belakang kepala dan bahu sepanjang 10 dan lapan sentimeter selepas ditikam dua kali oleh seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman di kediamannya ketika ingin keluar ke Shah Alam bersama isteri, adik ipar serta pemandunya.

Kecederaan yang dialami beliau semakin pulih, namun hanya akan dibenarkan keluar hospital sekiranya tidak mengalami sebarang infeksi. - UTUSAN ONLINE