Perdana Menteri berkata, beliau yakin dan sememangnya tidak mustahil Malaysia dapat memperbaiki pencapaian tempat ke-10 yang pernah diraih ketika temasya itu di Guangzhou pada 2010.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini, saya tidak nampak mengapa kontinjen kita pada kali ini tidak boleh mengulangi kegemilangan tersebut pada 2018, atau melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna, Insya Allah.

“Ini kerana kita juga mempunyai atlet-atlet bertaraf dunia seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Wong Weng Soon (wushu) dan tidak kurang hebatnya pasukan boling wanita dan skuad hoki lelakinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putrajaya di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Dr. Mahathir menyempurnakan penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada Chef de Mission Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee. - UTUSAN ONLINE

Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR