Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu mampu dicapai hasil kerja keras warga kementerian serta pelbagai langkah yang dilaksanakan termasuk pelancaran Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, prestasi sektor agromakanan boleh dibanggakan apabila me­nyumbang sebanyak RM36.5 bilion atau tiga peratus kepada KDNK negara.

“Peningkatan itu perlu kerana pertanian bukan sekadar untuk memastikan sekuriti makanan negara, malah merupakan sumber kekayaan dan pendapatan.

“Justeru, saya amat yakin kerajaan berada di landasan yang tepat dalam mengangkat sektor agromakanan ke tahap tertinggi dan peratusan itu boleh dicapai berdasarkan prestasi menteri dan timbalan menterinya serta gabungan dalam kementerian tersebut,” katanya.


Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Ahmad Zahid berkata demikian ketika melancarkan GTN 2017 di hadapan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Degong di sini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh Gumbek.

Menurut Ahmad Zahid, meskipun mencatatkan prestasi agak membanggakan, namun negara tidak boleh merasa selesa de­ngan kedudukan itu kerana nilai import bahan makanan negara tahun lalu berjumlah RM46.8 bi­lion berbanding eksport RM30.2 bilion.

“Ini bermakna negara mengimport bahan makanan melebihi eksport sebanyak RM16.6 bilion. Jadi pasaran dalam negara masih luas untuk diterokai oleh keluaran pertanian tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta kerajaan negeri mengoptimumkan tebus guna tanah terbiar bagi tujuan aktiviti pertanian.

Beliau memberi contoh kejayaan Belanda yang kini merupakan pengeksport pertanian kedua terbesar di dunia yang dicapai hasil mengaplikasikan teknologi dan mekanisme moden dalam pengurusan aktiviti pertanian mereka.

“Kita ada banyak tanah terbiar dan soal tanah adalah soal kerajaan negeri. Saya akan berikan dukungan kepada Menteri Besar untuk tanah-tanah terbiar diproduktifkan.

“Yang penting kita kena ubah sistem lama yang kita buat dan petani kena ubah corak pemikiran mereka selain mengaplikasikan teknologi yang ada,” katanya.