Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Wanita tersebut, Norhaeda Azahari, 40, bersama adik bongsunya, Mohd Feroz Khan, 34, kini menjadi tuan kepada 62 ekor kucing yang dibuang pemilik asal di merata tempat di bandar ini termasuk pasar dan masjid.

Norhaeda berkata, antara makanan kegemaran kucing peliharaannya adalah air kelapa muda dan susu kambing malah dia menyediakan ayam rebus seminggu sekali sebagai hidangan istimewa.

"Pernah satu ketika saya putus asa apabila 20 ekor kucing yang sedang saya pelihara mati akibat jangkitan penyakit tetapi kawan-kawan menasihatkan bahawa memelihara kucing memang ada cabaran.

"Saya rasa bertanggungjawab menjaga kucing sakit dan berkudis yang dibuang orang walaupun saya dan adik hanya mengusahakan kedai dobi secara kecil-kecilan dan daripada pendapatan itulah kami belanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk makanan dan rawatan kucing, kami menahan lapar dan berpuasa untuk berjimat bagi membeli keperluan haiwan ini.

"Selepas seekor kucing mati pada 2015 akibat dibelit ular sawa ketika berkeliaran di halaman rumah jiran, kami mula membina sangkar dalam rumah bagi memastikan keselamatan kucing," katanya kepada pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Norhaeda berkata, sangkar kucing daripada kayu terpakai serta dilitupi jaring itu ditempatkan di bahagian dapur rumah dan ia dicuci dua kali sehari bagi memastikan kebersihan dan mengelak bau busuk. - UTUSAN ONLINE